Berita Semasa

Dakwa jadi mangsa fitnah Mondy Tatto, Ebit Lew buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew yang kini terpalit kontroversi baharu membuat laporan polis
selepas mendakwa menjadi mangsa fitnah oleh seorang wanita dari Indonesia yang dibantunya ketika berdakwah di negara itu baru-baru ini.

Ebit memaklumkan perkara demikian dalam laman Facebooknya hari ini.

“Baru sampai dari Jeddah 12 malam tadi terus ke balai polis buat report mengenai fitnah-fitnah yang teramat melampau dan langsung tidak berasas ke atas diri saya,” katanya.

Ebit berkata, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.

Pada masa sama, katanya, dia juga menyerahkan kepada pihak peguam untuk tindakan selanjutnya.

Baru-baru ini, pempengaruh terkenal dari Indonesia, Mondy Tatto mendedahkan dirinya menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah bebas terkenal dari Malaysia ketika kali pertama tiba di Malaysia tahun ini.

Mondy membuat pengakuan mengejutkan itu di dalam podcast khas kendalian penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice.

Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik, ibu tunggal itu menceritakan sisi sebenar pendakwah terbabit yang disifatkan satu perbuatan jijik.

“Ada satu kejadian kurang sopan berlaku di dalam kereta. Tangan saya dipegang dan diusap ustaz itu sehingga hampir ‘kantoi’. Jangankan seorang ustaz, seorang lelaki dan perempuan kalau bukan mahram bersentuhan adalah perbuatan yang salah. Namun terjadi sentuhan ketika hari pertama saya tiba di Malaysia.

“Dia ini pandai agama, tapi kenapa dia pegang tangan saya sedangkan saya bukan mahramnya. Saya lepaskan tangan dari genggamannya, kemudian beritahu perbuatannya itu tidak baik,” menurut laporan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button