Berita Semasa

Kerajaan cadang jadikan Keretapi Sarong aktiviti Bulan Kebangsaan

KUCHING – Kerajaan bercadang menjadikan program Keretapi Sarong sebagai antara aktiviti sempena Bulan Kebangsaan tahun hadapan.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, program ‘flash mob’ atau persembahan kilat berkumpulan itu berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan berjaya menyerlahkan wajah Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni.

Semalam, program tersebut telah mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran 10,000 peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan usia.

“Terlintas di fikiran saya mungkin nanti akan berbincang dengan pihak penganjur untuk memasukkan ia (Keretapi Sarong) sebagai sebahagian aktiviti dalam kalendar sambutan Bulan Kebangsaan selepas ini.

“Saya berharap tahun depan kita dapat merencanakan lebih banyak program di peringkat Bulan Kebangsaan supaya ia tidak hanya melibatkan kibar Jalur Gemilang sahaja,” katanya selepas sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, di sini malam tadi.

Keretapi Sarong 2023 (KS 2023) yang bertemakan “Etnik dan Perpaduan” bertujuan menyemai semangat cintakan negara walaupun dalam kepelbagaian sempena sambutan Hari Malaysia.

Program tersebut dianjurkan oleh LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017.

Pada tahun ini, program tersebut berlangsung serentak di lima bandar utama seperti Johor Bahru (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di Battersea Power Station (London, United Kingdom).

Show More

Related Articles

Back to top button