Berita Semasa

Anggota JPJ cedera dirempuh penunggang motosikal lari sekatan

CYBERJAYA – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera dirempuh penunggang motosikal dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di kilometer 28, Lebuhraya Seremban-Port Dickson pukul 11 pagi tadi.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan berkata, penunggang motosikal tersebut didapati tiada lesen memandu kompeten (CDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh pada 18 Julai 2012 selain tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, semakan mendapati penunggang tersebut mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata kenyataan itu.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian berkenaan.

“Penunggang terbabit diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, anggota yang terlibat dalam pelanggaran itu telah dihantar ke Hospital Port Dickson bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Akibat dirempuh penunggang motosikal terbabit, anggota bertugas mengalami kecederaan pada bahagian otot leher dan kepala,” katanya ketika dihubungi.

Show More

Related Articles

Back to top button