Berita Semasa

Pesawat, juruterbang dalam keadaan baik ketika nahas

Siasatan lanjut akan tertumpu kepada sistem kawalan penerbangan

PUTRAJAYA – Siasatan awal nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 di Persiaran Elmina pada 17 Ogos lalu mendedahkan pesawat dan juruterbang berada dalam keadaan baik sebelum kemalangan.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan nahas yang dimuat naik di laman web Kementerian Pengangkutan (MOT) pada pagi ini bersama empat lagi penemuan utama.

Penemuan pertama menyatakan bahawa juruterbang memerintah (PIC) iaitu Shahrul Kamal Roslan, 41, mempunyai lesen penerbangan yang sah dan layak melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

Dalam nahas itu, Shahrul Kamal dibantu juruterbang kedua (SIC) iaitu Heikal Aras Abdul Azim,43, juga didapati tidak mempunyai sebarang isu berkaitan kesihatan yang mungkin menjejaskan penerbangan.

Penemuan kedua menyatakan keadaan pesawat berada dalam keadaan baik dengan Sijil Kelayakan Udara yang sah dan diselenggara mengikut peraturan.

Berdasarkan rekod, pesawat milik Koperasi Amanah Pelaburan Berhad itu menerima Sijil Kelayakan Udara pada 10 Mei lalu sebelum luput pada 17 April 2024.

Penemuan ketiga adalah keadaan meteorologi yang baik pada hari kejadian dengan jarak penglihatan kira-kira 10 kilometer di kawasan kemalangan dengan kelajuan angin 5 knot.

Keempat adalah tiada sebarang tanda-tanda ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang mungkin menjejaskan prestasi kru penerbangan.

Terakhir adalah keadaan kemalangan yang tidak memungkinkan ada mangsa terselamat kerana pesawat terjunam dengan laju dan berlakau kebakaran selepas terhempas.

Menurut laporan itu, analisis awal maklumat daripada rakaman Kotak Perakam Suara Kokpit (CVR) telah memberi petunjuk penting kepada punca sebenar kemalangan yang akan tertumpu kepada sistem kawalan penerbangan pesawat malang berkenaan.

“Hasil daripada pemeriksaan yang masih belum selesai dan bahagian-bahagian pesawat di makmal akan menyediakan bukti dalam menentukan punca sebenar kemalangan,” kata laporan itu.

Terdahulu, MOT dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan teknikal berdasarkan Lampiran 13 Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13), dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bermula tarikh kejadian nahas pedawat terbabit.

MOT sebelum ini memaklumkan penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti tetapi lebih kepada untuk mengetahui punca dan mengelak kemalangan berulang.

Nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 telah mengorbankan 10 nyawa, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Selain itu, insiden turut melibatkan dua lagi mangsa orang awam masing-masing merupakan penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.

 

Show More

Related Articles

Back to top button