Politik

Tiada siapa dipecat dari UMNO setakat ini – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Tiada mana-mana individu dipecat dari parti UMNO buat masa ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi tidak membangkitkan perkara sedemikian.

“Tidak ada apa-apa (dibincangkan). Setakat kenyataan media ini sahaja,” kata Asyraf Wajdi dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat, malam tadi.

Tambahnyanya, Isham yang membuat dakwaan berkemungkinan dipecat, tidak hadir pada mesyuarat tersebut.

“Isu apa yang dibangkitkan itu? Dia pun tidak datang (Mesyuarat MKT UMNO), dia tidak bangkitkan apa-apa,” katanya lagi.

Pada Isnin, Isham yang juga ahli MKT UMNO menerusi kenyataan di Facebook mendedahkan nama beliau mungkin tersenarai sebagai antara ahli yang akan dipecat pada mesyuarat parti itu minggu ini kerana mendakwa tidak mahu mempromosi DAP.

Isham mendakwa, terdapat ahli MKT UMNO menyuruhnya meletakkan jawatan, namun beliau enggan berbuat demikian memandangkan jawatan itu digalasnya ekoran dipilih oleh akar umbi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Asyraf Wajdi berkata, isu tersebut diserahkan kepada keputusan Lembaga Disiplin UMNO.

“Itu kita serah kepada Lembaga Disiplin UMNO,” katanya bagi menjawab soalan mengenai tindakan Muhammad Jailani yang didakwa hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor baru-baru ini.

Show More

Related Articles

Back to top button