Jenayah & Mahkamah

Kes gaduh kedai makan, jurutera kapal dituduh bunuh penjawat awam

TANAH MERAH – Seorang jurutera perkapalan dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penjawat awam dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Machang pada 3 September lalu.

Tertuduh, Harun Narresat Ibrahim, 46, didakwa di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Harun Narresat hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Harun Narresat didakwa membunuh Tuan Mohd Salleh Tuan Ibrahim, 51, di sebuah kedai makan berhadapan Hospital Machang di Jalan Pasir Puteh Lama, Machang pada pukul 11.30 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman mati atau penjara selama tempoh minimum 30 tahun, maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Kelantan, Muhammad Zaki Abdul Kudos manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tg Shariffudin.

Mahkamah menetapkan 13 November ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Laporan media sebelum ini melaporkan satu pergaduhan berlaku antara dua lelaki hingga meragut nyawa seorang daripada mereka selepas dipercayai ditumbuk hingga mengakibatkan pendarahan serius pada bahagian muka, parah kedua-dua mata dan patah tulang rusuk kiri.

Lelaki terbabit kemudian meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Machang.

Show More

Related Articles

Back to top button