Berita Semasa

Hormati kuasa pengampunan Agong, kata Akmal kepada Rafizi

CYBERJAYA – Kuasa pengampunan ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun adalah kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong, dan semua pihak perlu menghormatinya.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, atas sebab itu pihaknya menghormati pengampunan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018, sejurus kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya selepas PRU14.

Sehubungan itu, kata Dr. Akmal, segala keputusan pengampunan membabitkan Najib juga harus dihormati PH.

“Bagaimana kita menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan diraja kepada perdana menteri, begitu juga PH perlu menghormati apa sahaja keputusan baginda terhadap Najib,” kata Dr. Akmal dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Dr. Akmal berkata demikian susulan pandangan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa PH tidak akan bersetuju dengan pengampunan untuk Najib.

Rafizi dilaporkan berkata demikian selepas menghadiri Program ‘Power Chat’ dan Pelancaran Rasmi Kovensyen Usahawan Cina Sedunia Ke-17 anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), semalam.

Kata Rafizi, walaupun PH tidak bersetuju namun gabungan itu tidak mencampuri urusan berkaitan pengampunan terbabit dan menambah Najib berhak membuat permohonan untuk diampunkan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Show More

Related Articles

Back to top button