Berita Semasa

Akta Kebebasan Maklumat akan digubal – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk mengubal Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu diambil melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang sebelum ini dikenali sebagai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang bersidang hari ini

“Ia antara lain membincangkan komitmen negara untuk terus memperkasa tata kelola dalam sistem pentadbiran Kerajaan, nescaya tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah.

“Antara perkara penting yang diputuskan atau secara prinsip dipersetujui secara bersama adalah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mesyuarat itu juga mengambil maklum tentang 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023 yang mengemukakan syor-syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara selaras hasrat untuk membangunkan Malaysia Madani.

Sementara itu Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berasingan berkata, selaras dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] juga akan dipinda dengan sewajarnya.

Katanya, langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan
menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara.

“Perbincangan tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan kemampanan tata kelola, khususnya melalui dua anjakan utama iaitu tata kelola rangka kerja institusi dan perundangan berkaitan rasuah. Komitmen ini selari dengan iltizam Kerajaan untuk memperkukuhkan tata kelola sepertimana yang dibentangkan
dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada 11 September lalu.

“Mesyuarat secara prinsip bersetuju dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dengan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan memandang serius isu ketirisan hasil negara terutamanya melibatkan perolehan kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkasa tata kelola perolehan Kerajaan secara perundangan bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak yang terlibat dalam perolehan kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button