Politik

3R: Muhyiddin gesa siasatan, pendakwaan terpilih digentikan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan 3R semata-mata untuk menutup mulut rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut mempersoalkan sama ada seorang pemimpin Melayu sudah tidak boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam.

“Adakah saya sebagai pemimpin Melayu dianggap sebagai penjenayah semata-mata kerana menyuarakan kepentingan orang Melayu dan Islam? Sejak bila pemimpin Melayu di negara ini sudah tidak boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam?

“Penjajah British telah lama meninggalkan tanah air kita tetapi nampaknya dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Madani hari ini lebih teruk daripada dasar penjajah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut kesal apabila telah disiasat polis berkali-kali namun tiada pemimpin dipihak kerajaan yang disiasat apabila mengeluarkan kenyataan yang jelas mengapikan sentimen perkauman.

Menyentuh lebih lanjut, Muhyiddin turut meminta kerajaan mengambil serius mengenai ‘kehilangan’ beras tempatan dan lambakan beras import berharga premium.

“Sehingga saat ini, nampaknya tiada tindakan segera dan berkesan yang diambil oleh kerajaan untuk meredakan keresahan rakyat. Beras adalah makanan ruji rakyat. Ia adalah barangan terkawal. Takkanlah tidak ada satu tindakan tegas daripada kerajaan untuk mengawal harga beras agar ianya tidak menjadi terlalu mahal sehinggakan tidak mampu dibeli oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin juga menggesa kerajaan supaya mengotakan janji yang dilaungkan semasa reformasi.

“Tak sampai setahun jadi kerajaan, janji-janji reformasi yang dicanang sepanjang lebih 20 tahun dahulu dah jadi reformati. Begitu juga janji untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri.

“YAB Tambun (Perdana Menteri) mengumumkan pelaksanaan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang. Kedua-duanya di negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang berada di negeri PN langsung tidak disebut.

“Begitu juga janji menyediakan peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen samada kerajaan atau pembangkang tidak dilaksanakan. Di mana sifat amanah, adil dan integritinya,” soalnya.

Show More

Related Articles

Back to top button