Berita Semasa

Polis akan rakam percakapan Muhyiddin sekali lagi pada Khamis

KUALA LUMPUR – Pihak polis akan sekali lagi merakam percakapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan berbaur 3R (agama, bangsa dan raja), pada Khamis ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan akan diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman.

Difahamkan, rakaman percakapan itu susulan siasatan terhadap dakwaan dibuat Muhyiddin ketika kempen Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, bahawa orang Melayu akan hilang kuasa.

“Polis membuka kertas siasatan susulan satu laporan polis diterima pada 7 September lalu.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya kepada Buletin TV3 ketika dihubungi, hari ini.

Pagi tadi, Muhyiddin selesai memberi keterangan kepada polis di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, di sini.

Keterangan itu bagi membantu siasatan berhubung ucapan beliau ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Dun Simpang Jeram, baru-baru ini.

Muhyiddin ketika ditanya berhubung proses keterangan hanya mengangkat tanda bagus dan mengangguk sebelum beredar.

Razarudin berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan berhubung dakwaan ucapan ‘fatwa haram’.

“Proses merakam keterangan berhubung ucapan sudah selesai sepenuhnya dan polis akan melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button