Berita SemasaPM X

Kerajaan anjur kongres ekonomi Bumiputera bagi tetapkan hala tuju dan pendekatan baharu

KUALA LUMPUR – Satu kongres ekonomi Bumiputera akan dianjurkan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ekonomi Madani yang menjadi teras kepada Kajian Separuh Penggal RMK12 (KSP RMK12) akan menilai semula pendekatan untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna.

“Semua perancangan dalam agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan Bumiputera dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata.

“Selepas lima dasawarsa, pemilikan ini masih belum mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan,” kata Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, kata Anwar, pemerkasaan Bumiputera akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana.

“Ini bagi melahirkan kelas pertengahan Bumiputera yang dapat beralih daripada bergantung harap kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi,” kata Anwar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button