Politik

Muda umum tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan

PETALING JAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuat keputusan untuk  menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Menurut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan  bersama pimpinan Muda yang lain.

“Surat telah diutus ke Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) berkenaan perihal ini. Ini merupakan keputusan yang sukar tetapi ia mesti dilakukan,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X hari ini.

Jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu, tindakan kerajaan menggugurkan pertuduhan rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyukarkan Muda untuk terus kekal berada dalam kerajaan.

“Tindakan kerajaan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) menyukarkan Muda untuk terus kekal berada dalam kerajaan.

“Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Saddiq berkata, Muda ingin memberi fokusnya dengan menjadi kuasa ketiga di blok pembangkang.

“Supaya menjadi suara rakyat dan mainkan peranan semak dan imbang. Muda akan tetap menyokong segala usaha reformasi institusi serta perihal rakyat,” katanya.

Penarikan sokongan oleh Muda ini, sekali gus menyebabkan Kerajaan Perpaduan hanya mempunyai 147 ahli Parlimen iaitu kurang satu untuk majoriti dua pertiga.

Show More

Related Articles

Back to top button