Berita Semasa

Konvoi tiga sahabat bertukar tragedi

MARAN – Konvoi tiga sahabat bertukar tragedi selepas motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta di jalan besar Felda Jengka 17 di sini pada Sabtu.

Difahamkan, ketiga-tiga sahabat yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu dalam perjalanan pulang  selepas menjamu selera ikan patin di Temerloh sebelum terlibat kemalangan dengan  kereta jenis Peugeot.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu Fadhil Syah Sulaiman,19, Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, masing-masing beralamat Felda Lepar Utara 1 dan Mohd Ridhwan Mahayadin, 35, beralamat Felda Jengka 17 meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Bandar Pusat Jengka menghala ke Temerloh, manakala ketiga-tiga penunggang motosikal dari arah Temerloh menghala ke Bandar Pusat Jengka.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kereta yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu kereta itu telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan ketiga-tiga penunggang motosikal tersebut.

“Akibat pertembungan itu, kesemua penunggang meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Jengka untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Norzamri, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Show More

Related Articles

Back to top button