Berita SemasaPM X

‘Tiada arahan pada Peguam Negara, dia bertegas mahu laksanakan tanggungjawab’ – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun tidak menerima arahan daripada sesiapa berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun mengetahui keputusan yang dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC) itu akan memberi kesan terhadap kestabilan politik, beliau bagaimanapun akur dengan penjelasan Idrus.

“Saya nak jelaskan, tidak ada arahan kepada Peguam Negara. Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan… kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis oleh AGC yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Tentunya sebagai Perdana Menteri, saya tahu kesan daripada tuduhan yang dilemparkan susulan keputusan tersebut, malah saya terpaksa tanya panjang lebar kepada Peguam Negara kenapa keputusannya begitu serta kenapa sekarang?” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling, hari ini.

Jelas Anwar, Idrus bertegas mahu melaksanakan tanggungjawabnya sebelum tamat berkhidmat.

“Peguam negara kata tarikh awal mahkamah ialah 4 Sept dan 5 Sept hari akhir beliau… jadi beliau jalankan tanggungjawab.

“Dia tak mahu lepaskan tanggungjawab kes yang dia uruskan kepada yang lain,” Jelas Anwar.

Isnin lepas, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.

Show More

Related Articles

Back to top button