Berita Semasa

Pisahkan kuasa, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang & Integriti Parlimen Belia Malaysia sekali lagi menggesa agar pemisahan kuasa dan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya disegerakan.

Gesaan tersebut timbul selepas Peguam Negara memohon untuk memberhentikan prosiding kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 4 September lalu.

Jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendirian mereka jelas, selagi mana Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah sama, konflik kepentingan dalam pendakwaan kes jenayah akan sentiasa bermain di fikiran rakyat Malaysia.

Katanya, ia adalah kerana Peguam Negara perlu menjawab kepada Perdana Menteri dalam pelaksanaan tanggungjawabnya.

“Kami sekali lagi ingin menjelaskan kepentingan untuk dua jawatan ini dipisahkan, walau apa jua implikasi kewangan yang perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi ini.

“Institusi yang berintegriti bukan sahaja harus bebas, malah ia juga harus kelihatan bebas dan selagi pemisahan ini tidak dilakukan, selagi itu kepercayaan rakyat terhadap institusi Pendakwa Raya negara kita akan terkesan,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid bagi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Sebelum ini, Ahmad menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Show More

Related Articles

Back to top button