Berita Semasa

Pengamal media nikmati sebulan bil telefon percuma melalui Insentif Rebat Rahmah

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menawarkan Insentif Rebat Rahmah berupa pengecualian bayaran bil telefon pasca bayar selama sebulan kepada pengamal media warganegara Malaysia.

Insentif bagi bil bulan September itu ditawarkan sempena Hari Malaysia 2023 itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada 29 Ogos lalu.

Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK) Jabatan Penerangan dalam kenyataan hari ini berkata, tawaran itu layak dinikmati oleh pengamal media yang mempunyai Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia dan berstatus warganegara Malaysia sahaja.

“Pengamal Media yang layak perlu mengemas kini nombor telefon pasca bayar (postpaid) dan maklumat lain yang berkaitan dengan log masuk ke akaun sistem e-Media Jabatan Penerangan Malaysia masing-masing di pautan https://emedia.penerangan.gov.my/ sebelum atau pada 10 September 2023 (Ahad) untuk menikmati Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media ini.

“Pihak pengamal Media juga dinasihatkan untuk menyemak tarikh luput atau tempoh sah laku Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia masing-masing untuk menerima insentif rebat tersebut,” menurut kenyataan itu.

Pemberian rebat itu bagaimanapun hanya terhad kepada bayaran komitmen bulanan dan tertakluk kepada terma dan syarat dari syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terlibat iaitu TM (Unifi Mobile), CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications (Yes).

Maklumat lanjut Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media boleh didapati melalui soalan lazim (FAQ) di pautan https://www.kkd.gov.my/awam/faq.

Show More

Related Articles

Back to top button