Berita SemasaPM X

ASEAN, India perlu bina kerjasama dalam bidang strategik – PM Anwar

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan negara ASEAN dengan India perlu membina kerjasama yang erat dalam kepelbagaian bidang-bidang strategik yang terkait.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20, di Jakarta, Indonesia hari ini.

“Pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, saya hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20 bersama rakan-rakan pemimpin lain yang senada menjulang kebersamaan memperkukuh Kerjasama Komprehensif Strategik ASEAN-India,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Seterusnya, kata Perdana Menteri, kerjasama tersebut akan dapat mempromosi pertumbuhan mampan dan inklusif seperti keterjaminan makanan, pertanian pintar, pembaharuan tenaga, kitaran ekonomi, inovasi fintech, dan perbankan digital.

Dalam mesyuarat tersebut, Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin.

Perdana Menteri juga akan mengambil bahagian secara aktif dalam tiga sidang kemuncak lain iaitu Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18, Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ketiga dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke-13.

Semasa mesyuarat ini, jadual Anwar termasuk tiga mesyuarat dua hala, di mana beliau akan terlibat dalam perbincangan dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Presiden Bangladesh Mohammed Shahabuddin, dan Perdana Menteri Timor Leste Kay Rala Xanana Gusmao.

Beliau kemudiannya akan menghadiri majlis penutup sidang kemuncak itu dan menyaksikan penyerahan rasmi jawatan Pengerusi ASEAN kepada Laos, sebelum pulang ke tanah air setelah berada di Jakarta sejak Selasa.

Show More

Related Articles

Back to top button