Berita Semasa

3R: Kertas siasatan terhadap Hadi, Tun Mahathir dihantar ke AGC

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar kertas siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu agama, bangsa dan institusi di raja (3R) kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan telah dihantar ke AGC untuk tindakan lanjut.

“Siasatan ke atas Tun Dr Mahathir telah kita edarkan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 5 September manakala siasatan ke atas Tan Sri Abdul Hadi Awang kita edarkan pada hari ini pagi tadi,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Sebelum ini, kertas siasatan terhadap Abdul Hadi dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ahli Parlimen Marang itu didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang jeram di Markas Pas di Bakri, Muar, Johor pada Ogos.

Sementara itu, siasatan ke atas Tun Mahathir pula difahamkan dibuat berhubung kenyataan berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja pada Jun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas Razarudin, dia akan dipanggil pada 12 September depan untuk memberi keterangan.

“(Keterangan) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diambil pada 12 September depan, sepatutnya 11 haribulan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button