Berita Semasa

Kes Ahmad Zahid : Pemuda UMNO selar kenyataan Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa tindakan Jabatan Peguam Negara menarik balik 47 pertuduhan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak bermoral.

Dr Muhamad Akmal berkata, kenyataan itu seolah-olah menggambarkan sikap Ahli Parlimen Pagoh itu yang tidak dapat menerima kebenaran dan beranggapan dirinya lebih suci daripada orang lain.

“Kalau orang lain tidak bermoral, kalau kena kat diri sendiri keadilan ditegakkan.

“Dan ketika Tan Sri menjadi kerajaan 22 bulan dulu, kes Lim Guan Eng dilepaskan ada moral ke tak da moral ya? Walaupun ketika itu SPRM dan satu Malaysia terkejut.

“Kes Datuk Seri Najib didakwa walaupun tidak mempunyai bukti yang kukuh ketika Tan Sri menjadi menteri kerajaan ketika itu bermoral ataupun tidak?,”soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Pejabat Peguam Negara semalam pula menjelaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya, dibuat berdasarkan alasan yang dikemuka dan diterima oleh mahkamah.

Susulan itu, Muhyiddin dalam kenyataannya berkata, tindakan Peguam Negara menggunakan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi menarik balik 47 pertuduhan jenayah terhadap Ahmad Zahid sebagai tindakan yang tidak bermoral dan titik hitam dalam perundangan negara.

Presiden Bersatu itu berkata, dalam kes berkenaan, Ahmad Zahid sudah didakwa di mahkamah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 saksi.

Katanya, ini bermakna mahkamah sudah berpuas hati bahawa terdapat bukti yang berasas mengenai perlakuan jenayah itu dan mengarahkan Ahmad Zahid membela diri.

Sementara itu, Muhamad Akmal juga menggesa Muhyiddin supaya tampil memberi penjelasan mengenai tindakan menantunya yang melarikan diri daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

“Mohon Tan Sri boleh memberikan penjelasan juga, adakah itu bermoral,”katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button