Berita Semasa

Kanak-kanak 5 tahun cedera ringan dilanggar kereta mengundur laju

PUNCAK ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan cedera ringan selepas sebuah kereta jenis Hyundai Elantra dipandu seorang lelaki tiba-tiba mengundur dan melanggar mangsa di premis di Jalan Eco Grandeur, di sini pada semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu kanak-kanak terbabit mengalami calar di bahagian muka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 30-an itu dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke Jalan Eco Grandeur untuk mengambil anaknya pulang dari Tadika.

“Setibanya di tempat kejadian, semasa pemandu mengundur untuk memasuki petak parkir di hadapan kedai menjual makanan haiwan, dia tertekan pedal minyak secara mendadak sehingga menyebabkan kereta dipandu mengundur dalam keadaan laju,” katanya dalam satu kenyataan..

Mohd Ambia berkata, kenderaan itu kemudiannya melanggar kanak-kanak yang sedang berjalan di kaki lima kawasan tersebut dan seterusnya melanggar pintu hadapan premis kedai.

Sehubungan itu katanya, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tular sebuah video berdurasi 59 saat memaparkan seorang kanak-kanak berada di depan kedai manakala Hyundai itu di petak parkir kawasan tersebut.

Impak pelanggaran itu menyebabkan kanak-kanak berusia 5 tahun itu terperosok antara kereta dan pintu premis itu.

Show More

Related Articles

Back to top button