PM X

Anwar zahir penghargaan kepada pimpinan pertubuhan Islam Indonesia

JAKARTA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap beberapa pimpinan gerakan dan pertubuhan Islam di Indonesia selepas mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama mereka di sini, semalam.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan di Facebook berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam perjumpaaan tersebut termasuk mengenai keilmuan, dakwah dan isu yang dihadapi dunia Islam.

“Alhamdulillah, dalam kepadatan jadual sebelum bermula Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak di Jakarta, saya sempat berdiskusi dan bertukar pandangan dengan para pimpinan gerakan dan pertubuhan Islam di Indonesia semalam.

“Pertemuan ini amat bermakna tatkala kami menghimbau garis sejarah permulaan saya sebagai aktivis yang pernah belajar dari hikmah tokoh Islam Indonesia seperti Bapak Mohammad Natsir dan Buya Hamka,” katanya.

Yang hadir dalam perjumpaan tersebut, Ketua Umum Muhammadiyah; Dr Adian Husaini, Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII) dan Prof Din Syamsuddin yang turut hadir bersama dengan 11 organisasi termasuk Ibu Khofifah Indar Parawansa, Ketua Muslimat Nadhatul Ulama (NU) serta Gabenor Jawa Timur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan bersama beberapa pimpinan gerakan dan pertubuhan Islam di Indonesia semalam – Foto Facebook Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia bagi memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam.

“Siri pertemuan dan diskusi seperti ini akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta terus memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sidang kemuncak  yang diadakan pada 5 hingga 7 September di Jakarta kali ini adalah yang kedua dihadiri oleh Anwar selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo.

Sidang kemuncak ini juga merupakan yang pertama buat beliau bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Semasa persidangan itu, 11 pertemuan dua hala telah dijadualkan termasuk dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button