Berita SemasaPM X

Kerajaan pertimbang longgar pengambilan warga asing dalam sektor gunting rambut, tekstil, kedai emas

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan menarik semula pembekuan pengambilan pekerja asing untuk memenuhi permintaan dalam tiga sektor iaitu kedai gunting rambut, tukang emas dan tekstil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebenaran itu bagaimanapun tidak akan diberikan sepenuhnya tetapi hanya melibatkan 15,000 permohonan demi memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.

“Negara kita ini terlalu ramai pekerja asing tapi ada kerja-kerja itu yang kita boleh buat sendiri. Kemudian ada permintaan (untuk dapatkan pekerja asing) daripada masyarakat India.

“Tapi saya tidak mahu bagi penuh sebab saya rasa perlu kita cari jalan melalui Program latihan teknikal dan vokasional (TVET), modal Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan sebagainya beri latihan kepada anak-anak kita,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan semasa kunjungan Program Lestari Niaga @ Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambathan, di sini hari ini.

Hadir sama dalam program itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri pada hari Jumaat ini dan akan diluluskan sebahagian daripada keperluan itu.

Untuk rekod, pengambilan pekerja asing dalam tiga sektor berkenaan telah dibekukan sejak 14 tahun lalu.

Sementara itu, Anwar mengulangi amaran akan merampas lesen yang di’ali-babakan’ rakyat tempatan kepada warga asing.

Katanya, lesen yang diberikan kepada rakyat tempatan haruslah digunakan oleh orang tempatan dan tidak disalah gunakan dengan disewakan kepada pihak lain.

“Kalau kita didapati lesen itu diserahkan kepada orang asing, kita akan batalkan lesen itu dan serah kepada orang lain,” katanya.

entara itu, Sivakumar ketika ditemui pemberita berkata, jumlah tenaga kerja asing yang diperlukan untuk sektor melibatkan kedai gunting, tekstil dan kedai emas adalah 15,000 orang.

“Kesemua sektor ini menghadapi masalah sejak beberapa tahun kerana mereka tidak boleh membawa pekerja asing bekerja dalam ketiga-tiga sektor ini kerana ia dibekukan.

“Banyak usaha diambil untuk membolehkan orang tempatan bekerja dalam sektor ini, tetapi, banyak kekangan menyebabkan mereka sukar mendapat tenaga kerja tempatan, maka, permintaan untuk kesemua sektor ini berterusan bertahun-tahun,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button