Jenayah & Mahkamah

Ahmad Zahid dilepas tanpa bebas daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan sedemikian setelah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi Ahmad Zahid, 70, bagi menggugurkan kesemua tuduhan.

Semasa prosiding, Mohd Dusuki memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid berdasarkan 11 alasan, mengikut peruntukan 145 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pada 29 Januari lalu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada AGC bahawa, siasatan lanjut hendaklah dibuat berhubung kes berkenaan.

“Tidak adil untuk menangguhkan perbicaraan kes itu ke satu tempoh yang tidak tentu maka kami mohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA),” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala yang kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Show More

Related Articles

Back to top button