Berita Semasa

Walau siapa pun kerajaan, terus pertahankan Perlembagaan Persekutuan – Muhyiddin

KALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia memperingati dan menghargai jasa-jasa pemimpin bangsa yang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Muhyiddin berkata, ini kerana mereka telah berjuang dengan gigih untuk memerdekakan tanah air yang merupakan lambang kehormatan bangsa.

“Bangsa kita tidak mempunyai kehormatan diri jika terus dijajah. Dengan kemerdekaan itu, kita mempunyai hak dan kebebasan untuk memerintah tanah air sendiri serta memajukan bangsa dan tanah air kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga mengingatkan mengenai asas kemerdekaan negara yang dibina di atas terma-terma mengenai hak-hak kaum yang dipersetujui secara bersama oleh pemimpin kaum-kaum utama di tanah air kita pada masa itu.

“Terma-terma ini kemudiannya terpahat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Antaranya, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan kemudiannya anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda yang lain boleh dipertuturkan oleh kaum bukan Melayu dan hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dengan syarat-syarat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pematuhan kepada kontrak sosial ini telah menjadi asas kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk hidup secara aman dan harmoni.

“Keamanan dan keharmonian yang dikecapi ini telah memberi ruang kepada usaha-usaha untuk mengisi kemerdekaan negara dilaksanakan. Ini termasuklah memacu pembangunan dan kemajuan ekonomi negara yang telah mengangkat taraf hidup rakyat daripada kehidupan yang mundur dan miskin kepada kehidupan yang lebih maju dan selesa,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia juga tidak terlepas daripada bersilih ganti kerajaan yang mentadbir negara.

Beliau berkata, meskipun kerajaan silih berganti, terma-terma yang menjadi asas kemerdekaan negara dan kemajuan bangsa ini hendaklah terus dipertahankan dan dilaksanakan secara menyeluruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button