Berita Semasa

Mangsa bot terbalik pertimbang saman PBT, pengusaha bot

PARIT BUNTAR – Mangsa insiden bot terbalik di Pantai Teluk Batik, semalam, sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan pengusaha bot berkenaan.

Menurut mangsa, Mohammad Hafiz Johari, pihaknya kesal kerana ketika kejadian, tiada pihak berkaitan atau pengawal keselamatan di pantai itu datang membantu sehingga mengorbankan nyawa isterinya, Nurul Afiqah Abdullah Sani.

“Buat masa ini, kami perlu selesaikan perkara yang perlu dulu dan akan berbincang dengan ahli keluarga untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Dari aspek keselamatan di lokasi, kami dapati banyak kekurangan termasuk tiada jaket keselamatan, tiada pemantauan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MPM dan sebagainya, sedangkan perkara itu perlu ada terutama di kawasan pantai dan di waktu cuti umum,” katanya memetik laporan Buletin TV3, semalam.

Dalam kejadian semalam, bot dinaiki Mohammad Hafiz,31, bersama Nurul Afiqah, 34, adik dan dua anaknya yang bergerak laju tiba-tiba berpusing lalu terbalik di Pantai Teluk Batik.

Nurul Afiqah yang ditemui terperangkap di bawah bot yang terbalik itu dibawa ke Hospital Seri Manjung dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 4.58 pagi semalam.

Jenazah Nurul Afiqah dibawa ke Masjid At Taqwa, Sungai Megat Aris, Bagan Tiang pada jam 2.30 petang dan dikebumikan selepas solat Asar di tanah perkuburan masjid berkenaan.

Mohamad Hafiz berkata, kejadian itu menyebabkan dua anaknya mengalami trauma yang teruk terutama Ainul Mardiah yang berulang kali memaklumkan tidak mahu lagi menaiki bot pada masa depan.

“Pihak berkaitan perlu mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di pantai, termasuk kepada pengusaha bot dan penjaga pantai bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button