Berita Semasa

Abdul Hadi sanggup ‘gadai’ agenda Negara Islam untuk menang pilihan raya

MUAR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sanggup menggugurkan agenda Negara Islam dan menggantikannya dengan Negara Berkebajikan.

Mohammad Sabu berkata, alasan yang digunakan Abdul Hadi bahawa parti itu berpisah dengan Pakatan Rakyat pada 2008 kerana isu hudud adalah pembohongan semata-mata.

Bahkan katanya, Abdul Hadi sendiri telah sanggup untuk tidak mengetengahkan isu undang-undang hudud ketika berada dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, persetujuan itu dicapai dalam perbincangan Abdul Hadi bersama pemimpin tertinggi DAP antaranya Tan Sri Lim Kit Siang, Anthony Loke Siew Fook dan Lim Guan Eng manakala PKR diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Yang ini Ustaz Hadi (Presiden PAS) tak cerita iaitu dia pernah diminta (DAP) supaya negara Islam tidak boleh disebut, dan PAS bersetuju negara Islam diganti dengan Negera Berkebajikan.

“PAS sanggup gugur negara Islam. Ada tak pemimpin PAS beritahu perkara ini kepada tuan-tuan. Kenapa dia sembunyi fakta ini?,” kata dalam ceramah kelompok di PRK Simpang Jeram, malam tadi.

Tambah Mohamad lagi, PAS pada ketika itu sanggup menggugurkan negara Islam namun pemimpin parti itu sanggup menyembunyikan fakta tersebut demi kepentingan politik mereka.

Katanya, PAS kemudian memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR untuk bekerjasama dengan UMNO yang mentadbir Kerajaan Persekutuan sebelum Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).

“Dulu macam-macam mereka beritahu pasal keburukan UUMNO tapi tiba-tiba mereka boleh peluk (dengan UMNO), tapi saya ucap terima kasih kerana PAS boleh berkawan dengan UMNO di bawah MN dan sekarang Amanah berkawan UMNO, PAS tak boleh kata apa,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Kota Raja itu semalam membuat pengumuman untuk mendedahkan pembohongan Abdul Hadi sebagai ‘balasan’ kepada tuduhan Ahli Parlimen Marang itu yang menuduh pemimpin parti Amanah terdiri daripada pemimpin PAS yang keluar parti kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Show More

Related Articles

Back to top button