Berita Semasa

Wake Up Tioman! 30 pensyarah bergabung pulih terumbu karang

CYBERJAYA – Seramai 30 pensyarah daripada sembilan universiti tempatan bergabung untuk melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dinamakan ‘Wake Up Tioman: Mitigating Climate Change Through Social Innovation’ di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 20 hingga 22 Julai lalu.

Diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), projek itu bertujuan memulihara terumbu karang untuk kelestarian alam sekitar, serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti pulau tersebut tentang pemusnahan terumbu karang, perubahan iklim, dan amalan pengurusan sisa makanan yang betul.

Pengarah Projek, Dr. R Kanesaraj Ramasamy daripada Universiti Multimedia (MMU), projek ini membuktikan aktiviti pemuliharaan alam sekitar boleh dijalankan seiring dengan membangunkan masyarakat setempat di pulau itu.

“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada kelestarian untuk memulihara dan melindungi keindahan semula jadi dan kepelbagaian Pulau Tioman,” katanya.

30 pensyarah berkenaan adalah daripada Universiti Multimedia (MMU), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan Universiti Teknikal Melaka (UTeM).

Dr Kanesaraj berkata, projek itu merupakan pendekatan komprehensif untuk pemulihan pulau melalui inovasi sosial.

“Ia bermula dengan penanaman terumbu karang baharu, meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dalam kalangan murid sekolah, diikuti dengan pendidikan masyarakat mengenai pengurusan sisa makanan yang berkesan dan amalan penyelenggaraan pulau.

“Bersama-sama komuniti setempat, inisiatif ini akan memacu pulau itu ke arah masa depan yang mampan, dengan ketara menyumbang kepada mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya.

Majlis perasmian projek disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kerjasama Industri dan Masyarakat Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Mohd Sharil Abdullah,
dan Mustaza Mukri, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan negeri Pahang.

Penaja acara termasuk Yayasan Telekom Malaysia sebagai Penaja Berlian, dan Malaysia Rail Link sebagai Penaja Platinum.

Projek berkenaan turut dijayakan oleh Lembaga Kemajuan Tioman (TDA), Reef Check, Yayasan Universiti Multimedia (YUM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek.

Show More

Related Articles

Back to top button