Berita Semasa

LHDN anjur Seminar Percukaian Kebangsaan pada 18 dan 19 Oktober ini

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menganjurkan Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2023 bagi Bajet 2024 secara dalam talian pada 18 dan 19 Oktober ini.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, pendaftaran bagi menyertai seminar ini telah dibuka sejak 18 Ogos 2023 melalui portal https://spk.hasil.gov.my/.

“SPK adalah merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh LHDN dengan objektif untuk menyampaikan pelbagai maklumat terkini dan memberikan pemahaman yang lebih jelas.

“Dengan sebarang pindaan dalam semua akta yang ditadbir oleh LHDN lanjutan pembentangan Belanjawan 2024 oleh Menteri Kewangan pada bulan Oktober yang akan datang,” katanya.

Menurutnya, seminar pertama akan diadakan pada 18 Oktober manakala siri kedua diadakan pada 19 oktober ini.

“Para penceramah yang berpengalaman, terdiri daripada pegawai-pegawai kanan LHDN dan juga menampilkan ahli panel profesional ditampilkan dalam SPK 2023 ini bagi mengupas dua topik utama iaitu ‘Cadangan Bajet 2024’ dan ‘Pelaksanaan eInvoicing di Malaysia: Mekanisma dan Manfaat kepada Rakyat.

“Orang ramai khususnya pengamal percukaian dan pembayar cukai yang berminat, disarankan untuk merebut tawaran kadar yuran istimewa ‘early bird’ berjumlah RM350 bagi yang mendaftar dan membayar yuran sebelum atau pada 31 Ogos 2023,” katanya.

Sementara itu, katanya kadar yuran bagi pendaftaran dan pembayaran mulai 1 September 2023 adalah berjumlah RM380 bagi setiap penyertaan.

“Bagi memudahkan urusan pendaftaran seminar, LHDN menyediakan dua kaedah pembayaran yuran seminar iaitu melalui kaedah Financial Process Exchange (FPX) dan bayaran secara kad debit atau kredit.

“Orang ramai boleh menghubungi pihak urus setia SPK 2023 melalui e-mel spkhasil@hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button