Berita Semasa

Tambah baik garis panduan: Ceramah, syarahan di masjid, surau di Perak ditangguh

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menangguhkan aktiviti ceramah dan syarahan di surau dan masjid oleh penceramah dari luar dan dalam negeri ini sehingga tarik yang akan diumumkan kelak.

Pegarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu susulan proses penambahbaikan yang sedang dilakukan terhadap Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau di negeri itu.

Menurutnya, penambahbaikan yang dilakukan susulan penangguhan itu adalah selepas Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak membuat penelitian terhadap permohonan penceramah dari Iuar negara dan Iuar negeri Perak.

Katanya, ia sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam supaya selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.

“Sehubungan itu, sehingga garis panduan muktamad untuk dikuatkuasakan, beberapa ketetapan sudah diputuskan, iaitu jawatankuasa kariah masjid, SDJ, dan surau berdaftar dengan JAIPk dikehendaki menangguhkan jemputan mana-mana penceramah dari luar negara dan luar negeri Perak sama ada bertauliah atau tanpa tauliah mengajar di dalam masjid, SDJ dan surau.

“Begitu juga, jawatankuasa kariah masjid, SDJ, dan surau yang berdaftar dengan JAIPk adalah dikehendaki menangguhkan jemputan mana-mana penceramah dari dalam negeri Perak yang tiada Tauliah Mengajar di dalam masjid, surau diri jumaat dan surau,” katanya menerusi satu pekeliling yang disiarkan di Facebook (FB) Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk, di sini, hari ini.

Menurutnya ketetapan yang berkuat kuasa hari ini itu bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

Berdasarkan Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), individu terbabit adalah anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk); Mufti mana-mana Negeri di Malaysia; Pegawai Agama; guru agama yang dilantik oleh Kerajaan Negeri atau Persekutuan yang mengajar atau memberi syarahan kepada pelajar sekolah atau institusi di mana dia ditugaskan; dan mana-mana orang yang pada pendapat MAIPk mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.

 

Show More

Related Articles

Back to top button