Berita Semasa

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: MASA rakam penghargaan kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kejayaan sedekad Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2022 yang dilancarkan semalam itu merekodkan kejayaan cemerlang pelan induk pendidikan tersebut sejak pelaksanaannya pada tahun 2013.

Katanya, kejayaan tersebut membuktikan 10 tahun pelaksanaan PPPM telah menghasilkan kejayan yang cukup bermakna sejak pelancarannya oleh Muhyiddin yang juga mantan Menteri Pendidikan (2009 – 2015).

“Perjalanan pelaksanaan pelan pembangunan tersebut yang terkandung dalam laporan tahunan terkini dan Gallery Walk mencerminkan kecekalan dan inovasi mampan yang boleh menjadi ikutan dalam mengatasi segala bentuk rintangan dan halangan.

“Muhyiddin sewaktu melancarkan PPPM menyifatkan pelan pembangunan tersebut sebagai manifestasi transformasi kerajaan paling komprehensif dalam melahirkan modal insan terbaik ke arah memacu aspirasi pembangunan negara.

“MASA ingin merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama tidak berbelah-bahagi pelbagai pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan badan-badan korporat, yang telah memainkan peranan penting dalam transformasi pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azril, penghargaan tertinggi juga wajar diberikan kepada warga pendidikan di semua peringkat kementerian, jabatan dan pejabat pendidikan, khususnya di sekolah seluruh negara.

Dalam pada itu, Azril berkata, MASA juga komited untuk meneruskan legasi kepemimpinan Muhyiddin melalui kerjasama dan inovasi berterusan.

“Jelas, dedikasi dan komitmen Muhyiddin telah membuka jalan kepada penghasilan rancangan komprehensif ini yang telah menyaksikan kejayaan transformasi pendidikan sepanjang sedekad lalu.

“Kita yakin bahawa asas dan visi yang diilhamkan oleh Muhyiddin akan membawa kita ke arah landskap pendidikan yang lebih bermakna dan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button