Berita Semasa

Rampasan jam ‘pelangi’ dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada – Saifuddin

PUTRAJAYA – Rampasan jam ‘pelangi’ yang dikaitkan dengan simbol komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) berjenama Swatch pada Mei dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dia buat setelah terdapat aduan awam, dan dilaksanakan mengikut akta di bawah kawal selia unit penguatkuasaan dan kawalan kementerian ini.

“Malah, lebih penting ia (rampasan) dibuat berdasarkan aduan awam. Bagaimanapun, pihak syarikat mendapati ada isu pelanggaran dan mereka sudah pun membawa perkara itu ke mahkamah.

“Jadi biar kita selesaikan di situ (lalui proses mahkamah). Saya tidak mahu beri komen lebih daripada itu, namun ingin tegaskan rampasan itu dibuat mengikut undang-undang dan menggunakan punca kuasa yang jelas,” kata Saifuddin dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Sebelum ini, firma pembuat jam Swiss tersebut mengheret kerajaan ke mahkamah sivil berhubung serbuan dan rampasan ke atas jam Koleksi Pride tertera warna ‘pelangi’ yang didakwa melambangkan simbol komuniti LGBT.

Kumpulan Swatch (Malaysia) Sdn Bhd pada 24 Jun lalu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung rampasan jam tangan itu yang menyenaraikan Menteri Dalam Negeri (tidak dinamakan); ketua setiausaha kementerian, setiausaha bahagian penguatkuasaan kementerian; dan kerajaan sebagai responden.

Menurut salinan kertas kausa, pembuat jam Swiss itu memohon antara lain membatalkan notis rampasan yang dijalankan antara 13 hingga 15 Mei; memulangkan 172 jam tangan yang dirampas dalam tempoh lima hari dari tarikh perintah mahkamah, serta ganti rugi, termasuk yang bersifat teladan dan teruk.

Syarikat itu mendakwa majoriti jam tangan yang dirampas itu adalah daripada reka bentuk 2023 dan tidak tertera perkataan ‘LGBTQ+’ tetapi hanya dalam warna pelangi.

Show More

Related Articles

Back to top button