Uncategorized

PM tegur obsesi golongan elit terhadap meritokrasi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan kaya atau elit di negara ini memahami konsep keadilan dan tahu membezakan keperluan meritokrasi dalam kepelbagaian status ekonomi dan sosial masyarakat.

Menteri Kewangan itu berkata, pertikaian mengenai meritokrasi dengan kouta atau bumiputeralisme tidak sepatutnya difahami sebagai konsep yang berbeza keperluannya sebaliknya disatukan dalam satu wacana.

Beliau berkata, walaupun golongan elit menganggap konsep meritokrasi sebagai amalan terbuka dan saksama, mereka tidak boleh menyamaratakan konsep itu dalam semua situasi di negara ini.

“Saya dapati golongan elit dia obses dengan meritokrasi. Dia pergi ke sekolah terbaik, dia anak orang kaya, jadi meritokrasi itu relevan.

“Tetapi kalau dia datang dari Manik Urai, Kapit, atau Charok Kudong, yang tidak kenal sekolah yang asas maka itu bukanlah satu keadilan.

“Meritokrasi itu penting tetapi ia tidak boleh menjadi satu-satunya kriteria dalam pengurusan negara dan tata kelola yang adil,” katanya dalam ucapan Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Perdana Menteri sebelum ini menjelaskan konsep meritokrasi kepada seorang graduan yang mahu amalan itu dimansuhkan dalam pengambilan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ketika ceramah Temu Anwar di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan pertikaian mengenai meritokrasi dengan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan tertentu yang berbeza keperluan perlu diimbangi.

“Kegagalan mempertimbangkan konsep ini tidak akan membolehkan negara mengangkat (individu) yang terbaik di negara ini

“Itu seperti mengagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan sebab itu kita kena imbangi kedua-duanya (kaya dan miskin),” katanya.

Lebih membimbangkan katanya adalah kecenderungan golongan yang tersisih dan terabai dengan layanan kerajaan akan menggunakan isu-isu perkauman atau pemikiran yang sempit .

“Saya kadang-kadang runsing sebab walaupun negara sudah lama merdeka tetapi wacana kita itu ada dua (tidak selari),” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button