Berita Semasa

Nahas pesawat Beechcraft diklasifikasikan sebagai kematian mengejut setakat ini

SHAH ALAM – Nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, pada Khamis lalu setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menunggu hasil laporan siasatan yang dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

“Siasatan berkaitan kejadian masih dalam siasatan BSKU, dan difahamkan masih berjalan dari segi faktor kemalangan tersebut berlaku.

“Siasatan yang dijalankan polis adalah melibatkan kematian, pengecaman jenazah mangsa dan urusan serahan jenazah keluarga mangsa serta sebarang unsur yang melibatkan jenayah. Setakat ini kes ini masih diklasifikasikan sebagai SDR,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Hussein Omar khan seterusnya berkata, bangkai dan serpihan utama pesawat yang diperlukan untuk siasatan pakar penerbangan sudah dialihkan sepenuhnya dari lokasi nahas itu.

Sementara itu, Hussein berkata, sebarang spekulasi berkaitan kejadian tidak seharusnya ditimbulkan kerana ia secara langsung mengganggu emosi ahli keluarga terlibat.

“Ada spekulasi berhubung unsur jenayah dan sebagainya, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana akan menggusarkan keluarga mangsa.

“Saya nasihatkan kepada awam, jika ada sebarang maklumat terus salurkan kepada polis untuk siasatan lanjut, itu sebaiknya,” katanya lagi.

Nahas pesawat Beechcraft Model 390 Premium 1 pada Khamis lalu itu mengorbankan 10 mangsa itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Turut terbunuh, juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan pembantu juruterbang, Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi dan Idris Abdul Talib @ Ramali.

Dua lagi mangsa merupakan orang awam yang melalui tempat kejadian ketika nahas penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh dan pemandu e-hailing, Sharipudin Shaari.

Show More

Related Articles

Back to top button