Politik

BN perlu ubah cara bekerja, berkempen – Azalina

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu mengubah cara bekerja dan menggerakkan kempen dengan lebih berkesan sekiranya mahu meraih sokongan dan kemenangan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, desakan supaya Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur mudah dilaungkan, tetapi tetap tidak akan memberi kesan kepada BN sekiranya isu lain yang lebih penting berterusan dipinggirkan.

“Memang mudah untuk menuding jari terutama apabila kita kalah. Dalam pilihan raya, kalah satu undi tetap kalah dan menang satu undi, tetap menang. Mungkin kita boleh beri contoh, jika kita kalah ketika bertanding untuk jawatan Yang Dipertua PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), usahlah kita bakar dan runtuhkan sekolah.

“Paling penting sebenarnya dalam mana-mana pilihan raya, formula kemenangan ambil kira faktor calon, pengundi serta cabaran. Apa yang perlu kita ubah bukan presiden tetapi cara bagaimana kita bekerja dan menggerakkan kempen kita,” kata Azalina dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, antara cabaran utama yang UMNO dan BN masih ketinggalan ialah peperangan saraf di platform digital memandangkan pendekatan konvensional bersemuka tidak lagi menjadi tunjang utama kempen.

Jelasnya, ahli perlu faham dan akur bahawa parti menghadapi defisit pengetahuan dan penguasaan platform digital ketika pihak lawan berbelanja tanpa had menggunakan media sosial bagi mempengaruhi pengundi.

“Kita tidak ada peraturan mahupun undang-undang yang boleh menyekat propaganda tanpa had pihak lawan menggunakan dana yang begitu banyak di platform digital kerana penyedia platform berpangkalan di luar negara.

“Melangkah ke hadapan, BN perlu bersedia untuk berubah menjadi parti yang lebih mahir dan memiliki pengetahuan menguasai teknologi digital dan Kerajaan Perpaduan juga perlu bersedia dengan penguasaan perang saraf di platform digital.

“Adalah penting untuk saya tegaskan, gabungan ini bukanlah satu kesatuan yang sempurna namun ada ruang untuk pembaikan dan yang pasti, Kerajaan Perpaduan ini dibina dengan mencari titik persamaan iaitu demi agama, bangsa dan negara,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button