Berita Semasa

Logo Hari Kebangsaan : Nak guna boleh, tak nak guna pun tak apa – Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan seperti yang dicadangkan namun tidak akan dilaksanakan secara paksaan di negeri-negeri yang ditadbir.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan penggunaan logo dan tema yang berbeza dengan kerajaan pusat itu dikemukakan untuk membolehkan rakyat menghayati semangat patriotik tanpa unsur-unsur politik perkauman.

Beliau berkata, sebagai pelaksanaan ia lebih kepada kempen di media sosial tanpa mewajibkan pentadbiran peringkat negeri (di bawah PN) mengikuti cadangan itu sepenuhnya.

“Kalau kerajaan negeri merasakan ia wajar, boleh ambil. Tiada masalah. Kalau rasa mereka lebih berminat atau tiada masalah dengan tema kerajaan persekutuan, pun tiada masalah.

“Bukan soal kita pergi berunding dari satu negeri ke satu negeri. Tidak. Tetapi hanya sekadar melontarkan (idea) ke khalayak,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Semalam, Ahmad Fadhli mengumumkan empat negeri bawah pentadbiran PN mungkin akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri.

Beliau dilaporkan berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan akan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata pihaknya akan meneliti dan menyiasat perkara berkenaan kerana tidak mahu perbezaan berlaku yang akan mewujudkan jurang serta suasana tidak bersatu padu.

Fahmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politik, sebaliknya ia adalah sambutan yang diadakan pada peringkat negara.

Mengulas kenyataan Fahmi yang akan meneliti serta menyiasat perkara itu pula, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan sedemikian dan menggesa ia bermula dengan siasatan terhadap tindakan pada tahun lalu oleh Kerajaan Selangor bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Saya fikir, menteri bolehlah menyiasat bermula daripada tindakan kerajaan negeri bawah PH menggunakan logo dan tema yang berlainan ketika Kerajaan Persekutuan ditadbir oleh PN.

“Sebagai contoh pada tahun lalu, Kerajaan Selangor juga menggunakan tema dan logo berlainan untuk sambutan kemerdekaan peringkat negeri,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button