Dana RM10 juta adalah pelaburan, dikembalikan dengan faedah
KUALA LUMPUR – Dana RM10 juta yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Yayasan Akalbudi kepada sebuah syarikat Armada Holdings Sdn Bhd adalah untuk tujuan pelaburan membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu.
Saksi bagi kes 47 pertuduhan berkait yayasan itu, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Suami kepada penyanyi nombor 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu berkata, dana itu telah dikembalikan semula kepada Yayasan Akalbudi berserta faedah.
Bahkan Datuk K selaku saksi kelapan kes berkata, yayasan yang diasaskan oleh Ahmad Zahid itu tidak merugikan sebaliknya memperoleh keuntungan pada kadar sepatutnya.
Menurut Khalid, beliau terlibat mengatur pertemuan Ahmad Zahid dengan Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd ketika itu, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad.
Pertemuan itu katanya adalah untuk meminta pertolongan Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri membantu mengurangkan modal berbayar.
“Wasi sebenarnya mahu Zahid campur tangan supaya TNB dapat mengurangkan modal berbayar daripada RM10 juta kepada RM5 juta,” katanya.
Khalid juga berkata beliau memberitahu Wasi untuk memberi pampasan kepada yayasan itu kerana “terlepas peluang”.
Sehubungan itu, RM69,722.65 dibayar kepada yayasan itu sebagai pulangan pelaburan dan wang itu digunakan untuk menjalankan aktiviti kebajikan.
“RM10 juta itu dipulangkan bersama bayaran faedah dan (yayasan) tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya.
Pihak pendakwaan berkata RM10 juta itu adalah pinjaman kerana yayasan itu dilarang oleh perlembagaannya daripada menceburi sebarang perniagaan.
Pihak pembelaan bagaimanapun mendakwa ia adalah satu pelaburan.
Dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar, Khalid mempertahankan bahawa RM10 juta itu adalah pelaburan.
“RM69,722.65 itu adalah pulangan pelaburan kerana (yayasan) telah mencairkan RM10 juta yang disimpan sebagai simpanan tetap,” katanya.
Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.
Dua belas daripada pertuduhan adalah melibatkan kes CBT, lapan kes rasuah dan baki 27 kes pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.