Berita Semasa

Amiruddin angkat sumpah MB Selangor

KLANG – Datuk Seri Amirudin Shari secara rasmi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, hari ini.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini pagi ini.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara Aku Janji itu ialah menyimpan rahsia perbincangan bersama Sultan Selangor dengan pihak luar; menjunjung tinggi Rukun Negara; memelihara dan memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain; memelihara institusi raja daripada dicaci dan diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.

Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Selangor akan berlangsung pada pukul 2 petang nanti.

Show More

Related Articles

Back to top button