Berita Semasa

Kerajaan hulur bantuan RM10,000 kepada keluarga Muhamad Hafiz

SUNGAI PETANI – Kerajaan semalam memberi sumbangan RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas berhampiran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.

Timbalan Kewangan II, Steven Sim Chee Keong yang mewakili kerajaan Malaysia berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa.

Chee Keong berkata, pihaknya juga sedia membantu segala urusan ahli keluarga arwah di Kuala Lumpur apabila perlu.

“Hari ini, saya hadir mewakili Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk ziarah dan menyerahkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa,”

“Kami juga bersedia membantu, dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada bapa mangsa, Muhamad Salleh Othman, 57.

“Kalau ahli keluarga nak ambil barang-barang arwah di Kuala Lumpur atau perlukan apa-apa bantuan, boleh hubungi saya atau mana-mana wakil kerajaan,” katanya pada majlis pengebumian tersebut.

Muhamad Hafiz, 32, merupakan salah seorang daripada dua pengguna jalan raya yang terkorban akibat terkena letupan pesawat yang terhempas di Persiaran Elmina.

Mangsa yang merupakan seorang penunggang e-hailing selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, semalam.

Dianggarkan lebih 500 orang termasuk saudara-mara dan masyarakat setempat hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Show More

Related Articles

Back to top button