Berita Semasa

Nahas Elmina: Laporan awal siasatan dalam masa 30 hari – MOT

CYBERJAYA – Laporan awal siasatan pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam kelmarin akan disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian nahas udara tersebut.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan teknikal telah dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bermula tarikh kejadian kemalangan udara tersebut dan dibuat berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).

“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan, dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan,” kat MOT dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

MOT turut memohon bantuan orang awam atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang bentuk rakaman video atau gambar yang relevan, untuk tampil mengemukakan bahan berkenaan kepada BSKU bagi membantu kerja-kerja siasatan insiden tersebut.

Bahan-bahan berkenaan boleh dihantar melalui emel bsku@mot.gov.my atau hubungi talian khas BSKU 03-8892 1235 (Lt Kol Juma’in Saadon TUDM).

MOT juga memohon kerjasama orang awam yang berada berdekatan tempat kejadian dan menyaksikan kemalangan tersebut, untuk berhubung dengan BSKU melalui e-mel ataupun talian tersebut bagi membantu siasatan.

Sementara itu, MOT merayu kepada orang awam untuk tidak menyebarluaskan imej dan video mangsa yang terkorban dalam kemalangan udara tersebut.

Menurut kenyataan itu, perbuatan sedemikian akan menimbulkan kekeliruan dan spekulasi yang bukan sahaja menganggu siasatan kemalangan udara, tetapi menyinggung perasaan keluarga waris mangsa.

Dalam kejadian pada pukul 2.48 petang kelmarin, sebuah pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang dan anak kapal, terhempas di kawasan Elmina, mengirbankan kesemuanya.

Turut terkorban, dua orang awam iaitu seorang rider p-hailing dan pemandu e-hailing yang melalui tempat kejadian.

Show More

Related Articles

Back to top button