Berita Semasa

Exco Pahang antara yang berada dalam pesawat terlibat nahas

CYBERJAYA – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mengesahkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Johari Harun antara yang dikhuatiri maut dalam nahas pesawat di Elmina, Seksyen U16 di Shah Alam, hari ini.

Tragedi yang menimpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Ketua UMNO Bahagian Bentong itu dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji un, berita yang menyedihkan, YB Datuk Seri Johari Harun, Exco Kerajaan Negeri Pahang, Ketua UMNO Bahagian Bentong dan ADUN Pelangai telah kembali ke rahmatullah, terlibat di dalam nahas pesawat terhempas di Elmina Shah Alam. Semoga Roh Allahyarham dicucuri rahmat. Alfatihah,” kongsinya.

Untuk rekod, Allahyarham dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas.

Beliau yang bersaing dalam pertandingan empat penjuru memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon dari Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang.

Show More

Related Articles

Back to top button