Jenayah & Mahkamah

Tidak ada sebab teliti semula pertuduhan dikenakan ke atas pimpinan Bersatu – AGC

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan tidak mempunyai sebab atau alasan yang munasabah untuk meneliti semula semua kes yang telah dipertuduhkan di mahkamah khususnya membabitkan para pimpinan Bersatu.

Kenyataan tersebut adalah susulan daripada gesaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menuntut AGC supaya mengkaji semula pendakwaan yang dikenakan terhadap pemimpin-pemimpin Bersatu untuk ditarik balik.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata, setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbangkan dengan sepenuhnya semua keterangan yang ada dan dibentangkan oleh agensi-agensi penguatkuasa serta menurut undang-undang yang berkaitan.

Tegas Idrus, tidak terdapat sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa- apa pendakwaan di mahkamah. 

“Jabatan Peguam Negara sentiasa bertindak secara bebas dan profesional, mengikut tatacara yang telah ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana individu.

“Jabatan Peguam Negara memandang serius kenyataan yang berkecenderungan menjejaskan kredibiliti Jabatan ini dan menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan Jabatan ini telah dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh yang tidak wajar,”  katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Idrus berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam hanya melibatkan 4 pertuduhan predikat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Rentetan itu, semalam, AGC telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Tambah beliau, tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dikenakan ke atas Muhyiddin masih kekal dan sedang berjalan.

Show More

Related Articles

Back to top button