Berita Semasa

DPMM-RichWorks tandatangani MoU bagi perkasa usahawan Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) masing-masing menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan untuk memperkasakan usahawan Melayu dan Bumiputera.

Menurut Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon, kerjasama tersebut dilihat penting bagi menangani polikrisis yang sedang melanda negara khususnya kepada usahawan pada masa ini.

Katanya, polikrisis yang bermaksud krisis yang berlaku dalam satu masa menyebabkan impak yang lebih besar kepada semua pihak.

Jelasnya, krisis tersebut sedang menekan ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga menyebabkan jualan merudum malah hingga ada yang tutup perniagaan.

Kata Norsyahrin, berdasarkan artikel Jurnal Keusahawanan ASEAN yang dikeluarkan 7 Ogos lalu, kira-kira 60 peratus PKS gagal dalam tempoh lima tahun penubuhan di Malaysia.

“Enam daripada 10 PKS pula menghadapi cabaran yang berkaitan dengan pertumbuhan mereka.

“Usahawan berdepan banyak cabaran ketika ini dengan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan bahan mentah ditambah kadar pinjaman di bank menyebabkan kos operasi sesebuah perniagaan makin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Usahasama antara DPMM dan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) diwakili Norsyahrin bersama Dr. Azizan merangkap Pengerusi RichWorks.

Turut hadir, Setiausaha Agung, Ahmad Yazid Othman; Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad dan Ketua Pegawai Perniagaan, Radz Mohd.

Tambah Norsyahrin, tekanan semasa kepada usahawan itu memerlukan perubahan dan langkah yang tepat dalam memastikan tiada usahawan tercicir dan kecundang.

“Saya percaya kolaborasi dengan RichWorks yang berpengalaman dalam membimbing usahawan PKS akan membantu ahli-ahli Dewan Melayu untuk lebih dinamis dan mampu berkembang (scale-up) dalam bidang yang mereka ceburi.

“Kami percaya kesemua kolaborasi dengan pakar-pakar seperti RichWorks dan agensi-agensi kerajaan akan membantu mencapai hasrat untuk membina masyarakat ekonomi bumiputera (BCIC) yang lebih berpotensi,” ujarnya lagi. 

Mengulas mengenai perjanjian persefahaman bersama DPMM, Dr. Azizan menghargai jemputan DPMM untuk berkolaborasi dengan satu matlamat jitu iaitu membangun dan memperkasakan usahawan Melayu dan Bumiputera.

“Alhamdulillah, melalui pengalaman dan kepakaran kami bermula 2008 yang terbukti berjaya melahirkan ribuan jenama tempatan dan usahawan jutawan.

“Kami akan berkongsi kepakaran dan pengalaman yang ada untuk bantu dalam usaha membawa perniagaan-perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Dr. Azizan memaklumkan, usahawan saat ini tada pilihan lain untuk tingkatkan ilmu, kemahiran dan strategi bagi berdepan polikrisis yang dijangka akan berpanjangan.

Menurut Dr. Azizan, polikrisis ini benar dan bukannya dibangkitkan untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama usahawan.

“Apatah lagi, hasil perbincangan dalam World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland menjangkakan keadaan ekonomi akan lebih teruk pada September ini.

“Moga jangkakan ini tidak berlaku namun jika berlaku macam mana? Sebagai usahawan 80 peratus kejayaan sebenarnya datang daripada persediaan mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu, Azizan memberitahu, RichWorks telah mengambil inisiatif dengan melancarkan program yang membantu usahawan-usahawan dalam memberikan solusi langsung kepada permasalahan dihadapi mereka dalam 10X Bina Bisnes Berjaya pada 2 dan 3 September depan.

Show More

Related Articles

Back to top button