
Bukan bas pengundi hantu di Kedah, 3 tidak dapat mengundi Mykad telah digunakan
ALOR SETAR – Bas-bas yang didakwa membawa ‘pengundi hantu’ seperti tular dalam sosial media adalah kenderaan yang membawa sebahagian daripada ribuan pegawai dan anggota polis yang bertugas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, seramai 7,160 anggota ditugaskan di Kedah yang mana sebahagian daripada 2,000 anggota datang dari luar Kedah seperti dari Bukit Aman, Kuala Lumpur dan Perlis.
“Jadi bagi tujuan itu, sebanyak 34 buah bas yang mana 24 daripadanya datang dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini untuk menyelaras pergerakan semua anggota polis.
“Setelah kami lakukan semakan nombor pendaftaran, didapati bas yang terpampang dalam klip video itu adalah sebahagian daripada bas-bas yang kami sewa.
“Semasa rakaman itu dibuat, kesemua anggota yang menaiki bas sudah turun dan melaksanakan tugas masing-masing.
“Saya beri jaminan bahawa apa yang dibangkitkan dalam klip video itu tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di sini, hari ini.
Dalam klip video yang tular pagi tadi, tiga buah bas ditahan kerana didakwa membawa pengundi hantu.
Perakam di dalam video mendakwa kehadiran bas-bas berkenaan menimbulkan keraguan kerana tidak pernah melihat kehadiran pengundi menaiki bas di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Fisol mengalu-alukan pihak yang merakam klip video berkenaan hadir membuat laporan bagi membuktikan dakwaan kewujudan pengundi hantu berkenaan.
“Polis Kedah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengatakan isu itu akan ditutup kerana siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat laporan wujud pengundi hantu. Saya pun dah beritahu nombor bas berkenaan dan saya ingin ingatkan individu terbabit agar bertanggungjawab mengeluarkan isu yang telah menjadi kegusaran kepada orang ramai,” katanya.
Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan turut memanggil individu terlibat bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama Fizol mengesahkan menerima tiga laporan daripada orang awam yang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mengundi apabila kad pengenalan mereka digunakan orang lain.
“Dua kejadian di Kulim dan satu di Sungai Petani. Selain itu, kami juga ambil maklum mengenai satu lagi kejadian yang tular di media sosial mengatakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memangkah di tempat yang salah ketika membantu seorang warga emas mengundi.
“Petugas terbabit telah dinasihatkan membuat laporan polis setelah selesai tugasnya di pusat pengundian kerana individu berkenaan tidak boleh meninggalkan tugasnya selagi prosedur pengundian masih berlangsung. Selain itu, pasangan warga emas terlibat turut perlu membuat laporan polis kerana setakat ini dakwaan hanya dibuat di media sosial,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |