Berita Semasa

PRN: Seramai 9,674,456 pengundi bakal laksana tanggungjawab esok

PUTRAJAYA – Sebanyak 3,190 Pusat Mengundi dan 17,048 Tempat Mengundi (saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian di enam negeri esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 153,760 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini nanti.

Beliau berkata, untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 1,995 orang petugas bertugas di 41 buah pusat mengundi yang mengandungi 217 Tempat Mengundi.

“Seramai 9,674,456 orang pengundi bakal mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) dan bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang pengundi. SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Beliau menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Walaubagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu.

“Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir. Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Justeru itu, pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau
melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan para majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Show More

Related Articles

Back to top button