Berita Semasa

PRN ujian kelangsungan Kerajaan Perpaduan – Ilham Centre

CYBERJAYA – Pilihan raya negeri (PRN) kali ini jelas menjadi ujian kelangsungan Kerajaan Perpaduan PH-BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rumusan tersebut adalah berdasarkan kajian firma penyelidikan bebas, Ilham Centre mengenai tahap penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan dan Dasar Madani.

Kajian tersebut turut mendapati, PRN pada 12 Ogos ini akan menguji beberapa perkara termasuk pola pengundian orang Melayu Semenanjung yang dijangka akan lebih jelas arahnya selepas perubahan pola yang mengejutkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kaji selidik lapangan membabitkan 2,416 responden di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri, bermula pada 11 sehingga 27 Julai 2023 turut memperlihatkan populariti Perdana Menteri, kerajaan dan dasar Malaysia Madani berada di tahap yang tinggi bagi negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Keputusan itu, bagaimanapun, adalah sebaliknya di negeri-negeri Perikatan Nasional (PN).

“Dengan demografi pengundi Melayu yang tinggi di Kedah, Kelantan, Terengganu, perkara tersebut menjadi berbeza.

“Walaupun begitu, populariti Perdana Menteri, kerajaan dan dasar Malaysia Madani di kalangan pengundi bukan Melayu berada di tahap yang tinggi dan konsisten di kesemua enam negeri yang terlibat,” kata Ilham Centre dalam satu kenyataan, hari ini.

Kajian tersebut turut mendapati, pengundi Melayu yang berada di jajaran majoriti Melayu kini condong bersama naratif yang dibawa PN.

Ini bermaksud, gelombang PN yang meraih dukungan dan sokongan kawasan majoriti ini masih kukuh.

Negeri yang mempunyai demografi pengundi bercampur lebih terbuka dalam penilaian mereka berkaitan dengan prestasi Kerajaan Perpaduan tetapi di negeri yang berada dalam lingkaran majoriti Melayu memberikan ‘approval rating’ yang rendah kepada soalan-soalan yang berkait dengan Perdana Menteri dan Kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button