
Amirudin sangkal dakwaan terima elaun dari kontrak bersih Sungai Klang oleh Che’gu Bad
GOMBAK – Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menolak tuduhan beliau menerima elaun daripada kontrak membersihkan Sungai Klang semasa pentadbirannya sebagai Menteri Besar Selangor.
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor itu berkata, jawapan mengenai perkara itu telah berulang kali diperjelaskan di Dewan Undangan Negeri sebelum ini.
Beliau berkata demikian sebagai menyangkal dakwaan yang dibangkitkan oleh Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Pusat, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard.
“Dua tiga hari ini mereka (Perikatan Nasional) begitu galak menabur fitnah dan mengitar semula cerita dan dakwaan yang sebahagiannya telah saya jawab dalam sidang DUN Selangor.
“Ini membuktikan betapa terdesaknya PN mencipta gelombang atau apa-apa isu di Selangor lalu menggunakan fitnah dan tuduhan palsu dan sebahagian daripada dakwaan tidak berasas,”
“Isu beri tanah 600 ekar percuma paling tiada asas… semalam dibangkitkan (saya) terima elaun? Tiada satu sen pun saya dapat elaun. Paling besar saya dapat karipap dalam mesyuarat… mungkin itu juga dikira rasuah oleh mereka?,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menjawab soalan mengapa namanya tersenarai dalam syarikat terbabit, jelas Amirudin ia disebabkan projek berkenaan kritikal dan perlukan penyelesaian segera.
“Malah tuduan elaun, elaun apa saya dapat? Kenapa saya dimasukkan? (Sebab) projek itu kritikal dan perlu penyelesaian… sekarang jumlah sampah dikutip 600 tan setahun… kali pertama tahun 2016 dahulu (sampah) dikutip 16,000 tan… sampah dah berkurang, kualiti air daripada tahap lima kepada tahap tiga.
“Kini boleh guna air dari Sungai Rasau untuk Loji Rawatan Air (LRA) Rasau, jadi ada penambahbaikan (kebersihan sungai),” katanya lagi.
Semalam, Che’gu Bard dalam sidang media khas PN mendakwa wujud salah laku membabitkan Amirudin menerusi pemberian projek membersihkan Sungai Klang yang dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat terbabit.
Katanya, kesemua bukti mengenai perkara itu telah diserahkan kepada SPRM.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |