Berita Semasa

Malaysia rangkul 6 pingat emas di World Championships of Performing Arts

KUALA LUMPUR – Pasukan Malaysia yang bertanding dalam kejohanan seni persembahan dunia, World Championships of Performing Arts (WCOPA) berjaya membawa pulang enam pingat emas, 20 perak dan 10 gangsa dalam kejohanan dunia edisi ke-26 baru-baru ini di Anaheim, California, Amerika Syarikat.

Menurut Pengarah MATME Management yang mengelolakan Pasukan Malaysia, Romli Bidin, dalam kejohanan yang dianggap sebagai ‘Olimpik’ seni persembahan itu, Malaysia menghantar seramai 11 karyawan tempatan yang menyertai empat kategori iaitu vokal, tarian, muzik dan peragaan.

“Setiap wakil Malaysia telah menyertai sekurang-kurangnya lima pertandingan setiap seorang. Tiga peserta dalam bahagian junior (5 hingga 15 tahun) manakala selebihnya di bahagian senior (16 tahun keatas). Di bahagian junior, Chloe Phang Ziang Ee (9 tahun) bertanding dalam kategori muzik dengan bermain drum manakala Quah Xin En (8 tahun) dan Jackie Jeffry (11 tahun) pula bertanding dalam kategori vokal.

“Di bahagian senior, Imran Azim Iskandar (16 tahun) mewakili Sarawak bagi kategori muzik dan Elwyn Jung Ming Yan (17 tahun) yang juga dari Sarawak menyertai persembahan dalam kategori tarian. Pada masa kategori tarian juga diwakili oleh Goay Lian Lian dari Pulau Pinang bagi kumpulan umur 30 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Romli lagi, Malaysia menghantar peserta paling ramai bagi kategori vokal dengan Mary Grace Jane dari Sabah menyertai kategori bagi kumpulan umur 18 hingga 24 tahun.

Bagi kategori sama untuk kumpulan umur 30 tahun ke atas, katanya, ia disertai oleh Nurashida Azli, Ketty Natalia Rasul (Thalia) dan Elvira Pontillas.

“Manakala Datuk Wahadaniah Abdul Wahab merupakan satu-satunya wakil tunggal dalam kategori peragaan.
pingat emas telah dimenangi oleh Chloe Phang bagi instrumental open, QuahXin En dalam vokal rock, Imran Azim bagi instrumental classical, Goay Lian Lian dalam tarian hip hop dan juga tarian open dan Datuk Wahadaniah dalam Modeling Photoshoot,” katanya.

Datuk Dania

Dalam pada itu katanya, lima peserta juga telah menggondol juara bahagian, iaitu anugerah ‘Champion of the
World’. Quah Xin En, Imran Azim Iskandar dan Goay Lian Lian masing-masing mendapat satu anugerah Champion of the World, manakala Wahadaniah telah memenangi dua anugerah Champion of the World iaitu dalam bahagian photoshoot dan spokesmodel.

“Secara keseluruhnya Pasukan Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan. Ramai peserta kita mendapat pingat perak kerana kurang persiapan rapi disebabkan oleh keperluan mencari dana yang mencukupi bagi meneruskan perjuangan ke kejohanan dunia ini.

“Sekiranya mendapat tajaan dan dana yang mencukupi, saya pasti lebih banyak pingat emas dapat diperoleh. Walau-bagaimana pun, Pasukan Malaysia telah mencapai 63 peratus kejayaan dari jumlah penyertaan keseluruhan.

“Dalam kejohanan dunia yang berprestij dan terbesar didunia, kejayaan ini adalah satu kemenangan yang amat cemerlang dan saya merasa amat bangga bagi Pasukan Malaysia tahun ini,” katanya.

Menyentuh mengenai persembahan yang diberikan oleh Pasukan Malaysia, katanya, sejak awal pertandingan Pasukan Malaysia telah menonjolkan nama Malaysia dengan persembahan ‘Malaysia Truly Asia’ di pentas utama dalam majlis perasmian kejohanan.

Katanya, Pasukan Malaysia juga telah menggayakan pakaian tradisional dan kebangsaan dari seluruh negara dalam ‘Parade of Nations’.

Pasukan Malaysia terdiri dari wakil-wakil seluruh negara, iaitu dari Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak dengan berbilang kaum Melayu, Cina dan kaum etnik Sabah dan Sarawak.

Show More

Related Articles

Back to top button