Berita Semasa

PM arah KPM, jabatan pupuk minat pada STEM

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencari pendekatan baharu bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting untuk memacu anjakan baharu dalam menghadapi era pasca Sains normal yang menyaksikan kepesatan teknologi berkembang dengan pesatnya.

Katanya, langkah itu juga perlu diberikan perhatian serius ekoran minat pelajar terhadap bidang itu kini semakin merosot menurut kajian yang dilakukan KPM.

“Dalam mesyuarat Majlis Sains Negara, saya putuskan supaya kementerian menyelaras dengan semua pusat pendidikan kerajaan, swasta dan universiti bagi memanfaatkan kekuatan mereka, tidak bergerak secara silo, cuba memberi ruang supaya boleh mendatangkan minat pendidikan sains dan teknologi yang terbaik yang boleh kita berikan.

“Kementerian tugasnya besar iaitu menyelaras dan menghubung institusi sains bukan sahaja diasaskan kerajaan tetapi juga mengenal pasti beberapa institusi lain dan syarikat swasta, terutama universiti.

“Saya lihat pendekatan baharu ini menuntut kekuatan seluruh negara dengan kekuatan kementerian, jabatan .
Jadi inilah peranan menteri dan ketua setiausaha untuk memastikan hal ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Perdana Menteri berkata, negara tidak boleh lagi berada pada tahap dahulu sebaliknya kena lebih bersedia.

“Harus ada pendekatan baharu seperti mendapatkan pandangan ahli Sains dan badan penyelidikan untuk turun padang ke sekolah, politeknik, (institusi kemahiran) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah vokasional untuk menambah minat anak-anak.

“Kerana apabila bercakap pasal pasca Sains normal, kita tidak boleh lagi pada tahap dahulu misalnya politik yang bersimpang siur, ekonomi yang memberi ruang kepada orang menyauk kekayaan atau mengamalkan dasar Sains yang tidak jelas,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perubahan itu bukan sesuatu yang mudah diterima oleh mereka yang sudah selesa dengan kaedah lama.

“Sebab itu kesediaan untuk melonjak perubahan itu mesti melibatkan semua. Dalam pentadbiran baharu ini, kita memerlukan perubahan cara lama terutama dalam bidang Sains dan teknologi,” katanya.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button