Hiburan

Miri diumum jadi tuan rumah Festival Filem Asia Pasifik tahun hadapan

KUCHING – Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak hari ini mengumumkan bandar Miri bakal menjadi tuan rumah bagi Festival Filem Asia Pasifik (APFF) pada tahun hadapan.

Pemilihan bandar kedua terbesar di Sarawak itu sebagai tuan rumah adalah atas dasar untuk merancakkan industri pelancongan di daerah tersebut seterusnya meningkatkan pelaburan di Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, beliau menjangkakan APFF 2024 akan menarik lebih ramai ramai penggiat seni dan filem dari seluruh dunia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.

“APFF diadakan setiap tahun oleh Persekutuan Penerbit Filem di Asia-Pasifik (FPA), idea ini dicadangkan semasa perasmian pembukaan AIFFA malam tadi dan pihak kami terus bersetuju dan memilih Miri sebagai lokasi tahun hadapan.

“Ini adalah peluang terbaik bagi industri perfileman dan kreatif untuk membuka lebih luas konteks bisnes dan sebagai bonus untuk pelaburan sekali gus mengangkat Sarawak sebagai lokasi pelancongan dan acara berprestij” katanya dalam ucapan ketika merasmikan AIFFA 2023 FilmBiz World pagi tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Penerbit Filem di Asia Pasifik (FPA) dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Pansha, menyambut baik pengumuman tersebut.

“Festival Filem Asia-Pasifik meliputi 22 negara di Asia-Pasifik dari Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Australia.

“APFF ini antara festival terbaik yang mampu mempromosi filem-filem Asia Pasifik ke peringkat global dan ini juga landasan terbaik untuk Sarawak lebih dikenali dan mampu kita bawa lebih luas.

“Miri dipilih kerana selepas Kuching, peranan kita juga mempromosi bandar kedua Sarawak ini” ujar Pansha.

Dalam perkembangan lain, sejak Selasa lalu, penggiat filem dari serata ASEAN sudah mula berkampung di Kuching, Sarawak sempena penganjuran Festival Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA 2023) pada 2 hingga 4 Ogos ini.

Untuk rekod, AIFFA 2023 yang telah memasuki edisi keenamnya, menampilkan 17 kategori yang akan dipertandingkan meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal penghasilan filem.

Show More

Related Articles

Back to top button