Berita Semasa

Anwar tegaskan tiada siapa boleh pertikai Tun Dr Ismail seorang nasionalis tulen

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ketegasan dan konsistensi mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman wajar dicontohi semua pihak di negara ini.

Menurut Anwar, tiada siapa yang boleh mempertikaikan bahawa Tun Dr Ismail itu merupakan seorang nasionalis tulen atas dasar perjuangan yang pernah dibawa Allahyarham suatu ketika dahulu.

“Saya masih ingat, ucapan Allahyarham dalam persidangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tak lari, tetapi secara tuntas dan konsisten menekankan keperluan negara ini diselamatkan dengan satu sikap terbuka, untuk menerima semua warga negara dalam satu semangat kekeluargaan yang tulen.

“Ini yang harus kita pelajari, mengenang jasa tokoh silam bukan bicara debu debunya (semata-mata), bukan untuk bernostalgia tetapi untuk menghidupkan idealism, mesej, suara keramat mereka, bagaimana mahu meletakkan asas dan selamatkan negara bangsa,” katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) melihat pameran sejarah yang dipamerkan ketika menghadiri Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj ‘ Tonggak Perpaduan Negara’ yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail – Tonggak Perpaduan Negara, anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi Mohd Fahmi Fadzil; Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang serta ahli-ahli keluarga Tun Dr Ismail.

Majlis turut disajikan dengan sebuah dokumentari pendek oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang memaparkan perjalanan kehidupan Allahyarham.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, Tun Dr Ismail turut memainkan peranan yang besar semasa kemuncak permusuhan kaum Melayu dan Cina pada  13 Mei, 1969.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) melihat sijil sejarah yang dipamerkan ketika menghadiri Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj ‘ Tonggak Perpaduan Negara’ yang diadakan di Dataran Merdeka hari ini.

Katanya, Allahyarham telah berjaya menyakinkan majoriti rakyat terhadap kerajaan ketika itu, seterusnya menjadi pendorong Malaysia aman semula.

Mengimbau kembali pertemuannya bersama Allahyarham dalam satu majlis di Johor Bahru, Anwar berkata, beliau sebagai seorang pemimpin mahasiswa ketika itu berasa gerun dengan Tun Dr Ismail, jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin lain ketika itu.

“Kalau depan (Allahyarham) Tun Abdul Razak ketika itu saya berani, Menteri-menteri lain saya keras. Tetapi dengan Tun Dr Ismail saya perlembutkan bahasa dan isi kerana saya gerun kepada dia.

“Tapi sebaik selesai dia panggil saya, disaksikan oleh (Allahyarham) Tan Sri Osman Saat (Menteri Besar Johor ketika itu), dan memberi galakan kepada saya. Seorang tokoh negarawan yang tahu anak muda punyai idealisma, kerana yang kita pertahankan masa itu adalah bahasa. Mahu kerajaan tegas martabatkan bangsa kebangsaan,” katanya lagi.

Tun Dr Ismail meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 akibat serangan jantung, dan jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur, menjadikan Allahyarham sebagai pemimpin pertama yang disemadikan di situ.

Show More

Related Articles

Back to top button